Saturday 25 February 2012

Aku berdosa tapi aku berjaya

Guys and girls kat luar sana ! Meh jap meh, duduk depan lappy and komputer tu and baca entri blog aku kalini. Mesti korang tertarik punya. Actually, aku dapat benda ni dari satu blog. Then aku post jadikan entri blog aku ni untuk dijadikan pedoman kite bersama ehh :)
Niat aku baik, bukan aku nak curik ataupun copy paste org punya. Tapi cuma nak beri peringatan kat korang and jugak diri aku ni. Ok, renung2 kan dan selamat beramal.


Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. Tetapi kita lihat kawan kita yang tidak solat, abaikan Al-Quran, menyakiti hati orang lain, boleh berjaya. Sedangkan kita? Terkial-kial walaupun sudah berusaha. 

Kita tahu bahawa siapa yang berbuat baik dan taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya. Tetapi kita lihat kawan kita ini berjudi, minum arak, menjadikan rasuah sebagai rutin harian. Namun, bisnesnya menjadi. Kita pula hidup dengan penuh cabaran dan dugaan. 

Kita tahu bahawa ilmu yang kita ada patut dikongsi. Sudah pasti segalanya milik Allah. Tetapi kita lihat kawan kita menyorokkan ilmu yang didapatinya, tidak berkongsi dengan orang lain, kedekut ilmu, berlagak seolah dia pandai, sombong. Namun, peroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Selalu mendapat pointer tertinggi. Lebih hebat jika dia mendapat 4 flat. Kita pula sering kecewa dengan keputusan yang diperoleh. 

Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan umat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar? Adakah kita tahu apa itu ISTIDRAJ?


Istidraj ini adalah satu kalimah yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?


Istidraj adalah apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT. Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah - Qarun. Siapakah Qarun? Dia adalah seorang manusia yang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini menunjukkan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan. Tetapi apabila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab :

“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku.”

Lihat apa yang dikatakan oleh Qarun. 'Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU.' Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut Nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba. Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Tanya kepada diri kita. Adakah itu juga yang kita mahu? Cuba kita berfikir. Apakah yang akan timbul di dalam hati kita apabila kita ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kita berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan? Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kita?

Mungkin ada yang akan merasa begini - “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”

Apakah yang akan terjadi kepada kita ketika itu? Kita berjaya, tetapi kita semakin jauh dari ALLAH. Itulah ISTIDRAJ.

Oleh itu, janganlah kita gusar apabila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu diperhatikan. Jika kita berjaya membina hubungan keimanan yang baik, Insyaallah, datanglah badai apa sekalipun, kita akan mampu melaluinya. Dan, sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. 

Ada satu kisah yang menceritakan tentang ini.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala dan seorang lagi Muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang Muslim membaca Bismillah. Apabila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang Muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa.”

ALLAH menjawab : “ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”

Lihat. Allah sayangkan hamba-hambaNya. Jangan kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walaupun sudah study, gagal dalam perniagaan walaupun kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman :

“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

Jika gagal terhadap sesuatu perkara, terima perkara itu. Kita masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. Insyaallah. ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada kita. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita dihadapankan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita. Mustahil kita semua suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti kita merana. Istidrajkah yang dimahukan?




Kita tenang sekarang?

Kita wajib untuk tidak berasa tenang jika kita berbuat dosa dan kita berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.

 
 

"Aku berdosa tapi aku berjaya…" 

Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.

Mari kita sama-sama duduk dan bermuhasabah semula.

Wallahualam.