Wednesday 9 April 2014

Berhijrah keranaMu


         Aku seorang gadis yang dulunya kehidupan terlalu memikirkan duniawi. Tidak pula terlintas untuk mencari bekalan dan persiapkan diri untuk menemui Sang Pencipta. Aku leka, aku alpa dengan kerja di dunia sahaja. Aku terlalu berseronok tanpa memikirkan apa yang sewajibnya sebagai umat Islam lakukan. Dulu sedang aku berjalan dengan rakan-rakan lain, aku terlihat terlalu ramai gadis yang Allah kasihi. Tidak seperti aku, cuma dikasihi ramai jejaka yang entah apa-apa perwatakan mereka.
      Pernah satu ketika, aku terlihat seorang gadis bertutup litup melintas di hadapan aku. Pada saat itu aku sedang keluar berduaan dengan lelaki bukan mahram. Sedang aku lihatkan gadis itu, aku bertanya sendiri "tidak panaskah dia bertutup litup seperti itu? Cuma ke tempat biasa sahaja ingin bertutup litup. Untuk apa?". Ya Allah, bersalahnya aku berkata demikian terhadap gadis yang dikasihi-Nya. Sedangkan aku pada waktu itu berseluar jeans ketat kerana mengikut trend semasa, berbaju sendat, dan tudung yang diselempang di atas bahu. Walaupun bertudung, tetapi aku sanggulkan rambutku setinggi bonggol unta, dan masih kelihatan bayang-bayang rambutku. Seolah aku membalut auratku, bukan seperti yang dituntut oleh Islam. Ya Allah malunya aku dengan Engkau.
       Tidak pula aku titikberatkan soal solat lima waktu sehari semalam. Kedua orang tuaku tidak marahkan kami adik beradik untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang Islam. baik di rumah mahupun kami keluar bersama-sama. Aku terlalu jahil akan tentang agama Islam. Kami adik beradik selalu tidak menghadirkan diri ke sekolah rendah agama dengan alasan sekolah itu cuma membuang masa. Aku pula terlalu memberi tumpuan terhadap title sebagai atlet pingpong sekolah pada waktu itu. Ibu dan ayah pula tidak melarang.
       Umurku seawal 20 tahun, Allah memberiku peluang untuk menuju ke jalan yang benar, dia memberiku peluang untuk menjejakkan sepasang kaki ini ke tanah suci Allah, Mekkah. Sepasang kaki ini dulunya sering ke tempat yang bukan-bukan. Dulunya sering ke tempat-tempat maksiat. Kini telah menjejakkan kaki ke suatu tempat yang diingin setiap umat Islam. Suatu tempat yang sangat memberikan ketenangan kepada setiap yang datang berkunjung.
       Pada ketika itu, tak dapat aku gambarkan perasaan aku setelah melihat Ka'abah di depan mata. Aku menangis kerana aku seorang yang terlalu banyak dosa terhadap Allah, akhirnya Dia memberi peluang untuk aku kembali ke jalan-Nya sewaktu usia mudaku. Dengan tangisan, aku mengelilingi ka'abah tersebut yang sering dibanjiri ribuan orang. Aku terpaksa bertolak-tolak dengan berbagai jenis umat. Subhanallah, tak tergambar rasanya. Aku mohon untuk dipertemukan jodohku dengan orang dari golongan yang soleh supaya dapat membimbing dan mengajarku lebih lagi tentang agama. Setiap hari aku berdoa dihadapan ka'abah.
       Sehingga suatu ketika, aku berpeluang mencium hajjarul aswad. Aku  yang sudah selesai melakukan tawaf sunat, ayah mengajak untuk masuk ke dalam ruang separa bulatan di tepi kaabah (aku lupa namanya). DIsitu terlalu ramai yang menangis memohon doa, termasuk aku. Aku menangis memohon ampun dari Allah. Ya Allah, kerdilnya aku pada saat itu. Aku takut akan seksaanMu. Setelah selesai, aku berpeluang memegang kain sutera kaabah. Aku letakkan mukaku di kain tersebut. Ya Rabbi, sejuknya kain ini. Tenang sebentar hatiku, lalu aku menangis. Kini aku sedar mengapa ada diantara mereka yang berdiri di kain itu dan menangis. Kemudian, kami berpeluang untuk mencium hajjarul aswad. Walaupun sesetengah individu mengatakan itu tidaklah sewangi asalnya, tapi aku tidak hiraukan. Disaat ingin mencium hajjarul aswad tersebut, aku terpaksa merempuh beberapa jenis lelaki berbadan sasa tetapi keinginan untuk mencium batu tersebut terlalu tinggi, maka ku gagahkan juga. Sehingga aku fikirkan tentang kematian sewaktu merebut peluang tersebut. Dan akhirnya mendapat peluang itu. Sewaktu mencium, aku menangis. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa-dosa umat ini yang bertungkus lumus untuk mencium batu hajjar aswad ini. Dosa-dosa umat Islam yang telah meninggal dunia. Kerana ketika itu, aku tergambar wajah arwah along.
       Kini, umurku genap 21 tahun dan aku sudah bergelar tunangan orang. Alhamdulillah, aku mendapat seorang lelaki yang boleh membimbing dan mengajar aku perihal agama Islam. Ibu dan ayah pun kini sudah berubah setelah pulang dari umrah. Idham, seorang lelaki yang cukup tinggi kesabarannya melayan kerenah aku. Dia jugalah yang kini menjadi tempat aku bertanya tentang agama Islam. Alhamdulillah, dia jugalah menjadi pendorong untuk aku berubah sedikit demi sedikit.

"Tuhanku, aku tidak layak untuk syurgaMu, tetapi aku tidak pula sanggup menanggung siksa nerakaMu. Dari itu kurniakanlah, keampunan kepadaku, ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar"